Saat sedang nyenyak dibuai mimpi di atas tilam yang begitu empuk, bilik yang dingin dan kelam tanpa cahaya, anda terbangun tiba-tiba. Setelah mata terbuka, persekitaran diamati. Belum subuh lagi ni, hati bermonolog sendirian. Kemudian tangan mencapai telefon bimbit melihat jam sekadar mendapatkan satu kepastian. "Oh, baru pukul 3 pagi."
Dalam situasi di atas, apa yang akan anda lakukan? Di sini anda mempunyai beberapa pilihan. Tanya iman anda dan buatlah pilihan yang bijak.
PILIHAN 1
Kebanyakan kita akan menarik selimut semula dan menyambung episod kedua mimpi yang tergantung separuh jalan. Bukan itu sahaja, hati turut mengomel, "Apasal la aku bangun awal sangat."
Terzahir sebuah kekesalan. Kesal bangun awal? Nauzubillah.
PILIHAN 2
"Oh baru pukul 3 pagi. Waktu macam ni doa makbul.
Ya ALLAH, ampunkanlah dosaku dan dosa kedua ibu bapaku. Jadikan aku hamba yang mempunyai semangat juang yang tinggi, berjuang untuk kebahagiaan dunia dan akhirat."
Kemudian sambung kembali 'ibadah senyap'.
PILIHAN 3
Sebaik menyedari dah pukul 3 pagi (bukan baru pukul 3 pagi), segera bangun untuk solat tahajud. Sembahlah ALLAH saat mata-mata lain terpejam rapat, rukuklah saat hati kita masih tenang, sujudlah saat minda masih kosong dari sebarang urusan dunia dan berdoalah saat doa didengari ALLAH.
Terjaga di awal pagi adalah satu rahmat yang merupakan kurniaan ALLAH.
Siapa tahu saat ALLAH takdirkan kita terjaga, sebenarnya ALLAH menunggu untuk memakbulkan sebarang permintaan malam tersebut. Mulalah dari langkah pertama, berdoa sebaik terjaga. Malah mintalah dari ALLAH untuk bangkitkan kita malam-malam seterusnya. Itulah caranya mengucapkan terima kasih kerana terjaga saat sedang tidur, bukan mengomel penuh kekesalan. Tetapi alangkah baiknya andai tahajud dapat ditunaikan.
No comments:
Post a Comment
Sudi2 la komen kat blog ni..:-)