Gagal sekali bukan bermakna gagal buat selama-lamanya. Setiap dugaan yang menimpa manusia bukanlah hukuman dari Tuhan semata-mata. Di sebalik apa yang berlaku pasti ada hikmahnya.
Banyak kegagalan yang menimpa manusia tetapi kurang yang memikirkan musibah yang datang itu merupakan rahmat dan tanda kasih sayang Allah kepada hambaNya. Ada manusia yang kaya dengan harta tapi akhirnya harta dan kekayaan yang ada hilang sekelip mata sahaja. Seorang peniaga mengalami kerugian berjuta-juta dalam perniagaan dan akhirnya jatuh muflis. Lain pula seorang isteri yang menjaga dan mengasuh anak-anak dengan didikan agama sedari kecil lagi tetapi apabila anak-anak telah dewasa, semuanya lupa dan mengabaikan tanggungjawab kepada ibubapa. Sesetengah orang akan menganggap keadaan ini disebabkan kegagalan ibubapa mendidik anak-anak. Berbeza pula keadaan remaja yang hangat bercinta sehingga bertahun-tahun lamanya, lama kelamaan cinta yang mekar ditaman pudar dan hilang sebelum sampai masa mendirikan rumahtangga bahagia. Sehinggakan cinta yang tidak kesampaian membuatkan masing-masing kecewa. Seorang pelajar pintar dan sentiasa mendapat kedudukan teratas dalam kelas, bila tiba masa keputusan peperiksaan diumumkan, pelajar tersebut hanya lulus dan tidak cemerlang seperti rakan-rakan yang lain. Adakah setiap kegagalan ini merupakan takdir yang sahaja ditimpakan oleh Allah Swt untuk manusia?
Sedar atau tidak, sebenarnya setiap yang berlaku keatas makhluk di muka bumi ini adalah dari Allah Swt Yang Maha Mengetahui akan setiap sesuatu. Sebagaimana dalam Surah al-Baqarah ayat 29 yang bermaksud :
“Dia lah (Allah) Yang menjadikan untuk kamu Segala yang ada di bumi, kemudian ia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan ia Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”
Apabila ditimpa musibah atau dugaan yang berat, manusia sering kali menyalahkan takdir. Hati mula berbisik dan mengeluh ”mengapa aku jadi begini?”, kenapa Tuhan uji aku dengan ujian yang berat sekali?” dan terjadi juga persoalan di hati kecil manusia sambil berkata ”Tuhan tidak adil..”. Bukankah ungkapan itu menunjukkan kita tidak menerima qadha dan qadar Tuhan. Telah dinyatakan dengan jelas dalam kalimah Allah bahawa setiap sesuatu itu adalah atas ketentuanNya. Kegagalan yang menimpa manusia bukanlah penamat dan pengakhiran kehidupan di dunia ini. Ini juga bukan bermakna tidak ada jalan lain untuk kita berusaha dan memperbaiki kegagalan yang lepas. Menangisi kegagalan dan kesusahan hidup tidak akan menyelesaikan apa-apa. Keyakinan dalam diri bahawa di hadapan sana pasti ada sinar baru akan menyerlah menjadikan hidup lebih bahagia dan pasti tabah menghadapi dugaan yang tiba. Mengalah dan terus mengalah akan menjadikan diri tidak tahan dengan ujian. Percayalah, kita mampu menghadapinya sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud "Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya." Kegagalan bukan untuk ditangisi selamanya, kalimah Allah sentiasa memberi kelapangan pada hati dan fikiran malah memberi semangat untuk terus tabah. Dalam ayat yang lain "Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah org2 yg paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yg beriman." - Surah Al-Imran ayat 139.
Tidak kah kita terfikir bagaimana umat yang terdahulu diuji dengan ujian yang berat sekali. Sebagaimana Rasulullah SAW sendiri diuji dengan pelbagai ujian, dengan berhadapan kaumnya yang tidak mahu beriman. Walaupun pelbagai rintangan semasa menyebarkan dakwah di Mekah namun semangat yang kental untuk agama Islam diteruskan juga untuk berdakwah ke Madinah. Bukan sekali dua Nabi SAW diuji bahkan sepanjang hidupnya Baginda diuji dengan kematian ibu bapanya, isteri yang trcinta, kematian datuk dan juga bapa saudaranya. Namun Rasulullah SAW tetap meneruskan hidup dengan penuh kesabaran. Kesenangan dan kejayaan bukanlah dikecapi hanya dengan sekelip mata sahaja tetapi ia memerlukan pengorbanan yang tinggi. Untuk mencapai sesuatu bukan hanya berjalan, berlari malah terpaksa merangkak demi untuk mendapatkan sesuatu yang terbaik dalam hidup. Namun bukan semua yang diharapkan adalah indah belaka. Ada benda yang kita harapkan dari sesuatu untuk kebaikan diri kita tetapi Allah berikan ujian sebaliknya. Hati mula gelisah, jiwa menjadi tidak tenang, fikiran mula berkecamuk memikirkan nasib yang menimpa diri. Persoalan demi persoalan bermain difikiran mengapa aku tidak dapat apa yang aku idam-idamkan selama ini? Beginilah realitinya manusia yang tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki. Janganlah membenci akan sesuatu yang telah Tuhan berikan kepada kita malah sepatutnya manusia harus bersyukur dengan nikmat yang dilimpahkan kepada mereka. Dalam Surah Al-Baqarah ayat 216 Allah telah menjelaskan "Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."
Sebenarnya hakikat ujian dan musibah bukanlah sengaja ditimpakan Allah SWT kepada manusia. Disebalik ujian pasti ada hikmahnya. Ujian dan musibah yang datang adalah untuk melihat kesungguhan dan kesabaran seseorang. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud : “Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (Wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu” (Surah Muhammad :31)
Sifat sabar merupakan sifat mukmin sejati. Setelah ujian melanda seharusnya seorang manusia yang beriman pasti akan menerima ujian itu dengan penuh kesabaran. Bagi orang-orang yang soleh akan sabar dan tetap istiqamah dan juga bertawakal kepada Allah SWT. Allah juga menyuruh agar kita bersabar dengan ujian dan musibah sebagaimana perintahNya “Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).(Surah Al-Imran ayat 200)
Sentiasa bermuhasabah diri akan menambah keimanan dalam diri setiap insan yang ingin merenung dan berfikir tentang kehidupan. Apabila ditimpa ujian atau musibah mereka akan berfikir bahawa ujian yang datang itu merupakan peringatan daripada Allah SWT agar manusia kembali ke jalan yang benar dan sentiasa memperbaiki diri. Kebaikan yang dilakukan bukan hanya akan mendapat ganjaran di dunia bahkan di akhirat jua. "Sesungguhnya Allah telah membeli dr orang-orang mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga utk mereka... .(-Surah At-Taubah ayat 111). Sabar tidak hanya merupakan cara yang paling tepat untuk menghadapi segala macam ujian dan cubaan, tetapi sikap sabar juga akan mendapat perlindungan dari Allah SWT. Ini kerana Allah sentiasa bersama dengan orang-orang yang berlaku sabar.
Ketika ujian melanda diri , kepada Allah jua lah tempat memohon dan mengharap. Semakin dekat padaNya jiwa akan bertambah tenang dan dapat menjalani kehidupan ini dengan bahagia. Sebagaimana ayat al-Quran yang bermaksud "Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal." (Surah At-Taubah ayat 129). Mukmin yang sejati tidak akan berputus asa daripada ujian dan musibah yang menimpa dirinya. Malah Allah menyuruh umat Islam bangun dan terus berusaha gigih sebagaimana Surah Yusuf ayat 12 yang bermaksud "... ..dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yg kafir."
Segala bencana ,ujian, penyakit, kesusahan atau kerunsingan yang menimpa tubuh badan atau akal fikiran seseorang mukmin adalah menjadi "Kaffarah" (penghapus) kekotoran dosa dan kesalahan orang yang ditimpa bencana itu. Sesiapa yang menyifatkan bala bencana yang menimpanya sebagai nikmat dan menerimanya dengan reda akan mendapat balasan pahala daripada Allah, selain terhapus kekotoran dosa dan kesalahannya. Umat manusia seharusnya bersyukur kerana setiap dugaan dan ujian itu merupakan rahmat dan kasih sayang dari Allah SWT.
Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya....
No comments:
Post a Comment
Sudi2 la komen kat blog ni..:-)