Friday, April 16, 2010

Ya.....SAYA SUDAH BERTUNANG....dengan sapa??

Hari-hari berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun lamanya, namun yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu. Iya, hanya beberapa minggu lalu. Berita itu aku sambut dengan hati yang diusahakan untuk berlapang dada. Benar, aku berusaha berlapang dada. Terkadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir saat kita benar-benar berada di tepi tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di jalan tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah dengan tabah.
Aku hanya seorang Insyirah. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku bisa melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain.

Aku bukan seperti bondanya Syeikh Qadir al-Jailani, aku juga tidak sehebat srikandi Sayyidah Khadijah dalam berbakti, aku bukan sebaik Sayyidah Fatimah yang setia menjadi pengiring ayahanda dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan Islam. Aku hanya seorang Insyirah yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama... Negeri Barzakh, insya Allah. Destinasi aku juga sama seperti kalian, Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini.

Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabiah yang memuji wajahku berseri dan mereka yakin benar aku sudah dikhitbah apabila melihat kedua tangan ku memakai cincin di jari manis. Aku hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku bukan membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diam ku kerana aku belum mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam penantian.

Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila.

"Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?"

Aku menjawab tenang.. "Warna putih, bersih..."

"Alhamdulillah, ibu akan usahakan dalam tempoh terdekat."

"Ibu, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan berlebihan."

Ibu angguk perlahan.

Beberapa hari ini, aku menyelak satu per satu... helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh nubari aku sebagai hamba Allah. Malam Pertama... Sukar sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah.

Sejak hari pertunangan itu, aku semakin banyak mengulang al-Quran. Aku mahu sebelum tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh. Mudah-mudahan aku tenang... As-Syifa' aku adalah al-Quran, yang setia menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang memujuk gelora hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini rasanya orang-orang yang mendahului.

"Kak Insyirah, siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak tak?"

Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara aku dan keluarga.

"Insya Allah, 'dia' tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak dengan Allah. Itu yang paling utama."

Berita itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi.

"Jangan lupa jemput ana di hari menikahnya, jangan lupa!"

Aku hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku sedang berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan 'dia' yang mendekatkan aku dengan Allah. Sahabiah juga merasa kehilangan ku apabila setiap waktu terluang aku habiskan masa dengan as-Syifa' ku al-Quran, tidak lain kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap dalam setiap derap nafas ku menanti hari itu.

"Bila enti menikah?"

Aku tiada jawapan khusus.

"Insya Allah, tiba waktunya nanti enti akan tahu..." Aku masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya.

"Jemput ana tau!" Khalilah tersenyum megah.

"Kalau enti tak datang pun ana tak berkecil hati, doakan ana banyak-banyak!" Itu saja pesanku. Aku juga tidak tahu di mana mahu melangsungkan pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.

"Insya Allah, kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti..."

Rahsia ku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan tarikhnya. Cuma, hanya termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung aku dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti orang lain. Semuanya aku sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan aku katakan sekali lagi kepada ibu...

"Usah berlebihan ya..."

Ibu angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata.

"Insyirah, jom makan!"

Aku tersenyum lagi... Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman.

"Tafaddal, ana puasa."

Sahabiah juga semakin galak mengusik.

"Wah, Insyirah diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat... Tarikhnya tak tetap lagi ke?"

"Bukan diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi."

Sehingga kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku, itu sahaja.

.......................................

"innalillahi wainna ilaihi rajiun..."

"Tenangnya... Subhanallah. Allahuakbar."

"Ya Allah, tenangnya..."

"Moga Allah memberkatinya...."

Allah, itu suara sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan aku pada ibu.

Akhirnya, aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Sahabiah ramai yang datang di majlis walimah walaupun aku tidak menjemput sendiri.

Akhirnya, mereka ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan aku kepada Allah.

Akhirnya, mereka kenali sosok 'dia' yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum.

Akhirnya, mereka sama-sama mengambil 'ibrah dari sosok 'dia' yang mengkhitbah ku.

Dalam sedar tidak sedar...

Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan ku... Sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi. Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu.

"Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang mendekatkan dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau redhai, aku hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau sebagai sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku ketahui..."

Akhirnya, Khalilah bertanya kepada ibu beberapa minggu kemudian...

"Insyirah bertunang dengan siapa, mak cik?"

Ibu tenang menjawab... "Dengan kematian wahai anakku. Kanser tulang yang mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, Insyirah hanya punya beberapa minggu sahaja sebelum kansernya membunuh."

"Allahuakbar..." Terduduk Khalilah mendengar, air matanya tak mampu ditahan.

"Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama..."

Ibu angguk, tersenyum lembut... "Ini nak, bukunya." Senaskah buku bertukar tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk'Malam Pertama di Alam Kubur'.

"Ya Allah, patut la Insyirah selalu menangis... Khalilah tak tahu mak cik."

"Dan sejak dari hari 'khitbah' tersebut, selalu Insyirah mahu berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan..."

Khalilah masih kaku. Tiada suara yang terlontar. Matanya basah menatap kalam dari diari Insyirah yang diberikan oleh ibu.

"Satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh MAUT. Dan satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan MAUT. Dan aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diri ku kepada ALLAH. Aku tahu ibu akan tenang menghadapinya, kerana ibuku bernama Ummu Sulaim, baginya anak adalah pinjaman dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila ALLAH meminta. Dan ibu mengambil 'ibrah bukan dari namanya (Ummu Sulaim) malah akhlaqnya sekali. Ummu Sulaim, seteguh dan setabah hati seorang ibu."

* Kisah ini bukan kisah ana (Insyirah), ianya kisah KITA (semua yang sedang membaca/tak) *

Mulai hari ini, jangan bersoal tika melihat ana memakai cincin. Kerana, ana sudah bertunang! Bertunang dengan kematian, tidak tahu bila ana akan dinikahkan dan tidak tahu bagaimana rezeki di malam pertama. Tetapi, sekurang-kurangnya apabila sudah dirisik dan bertunang, kita sama-sama akan mempersiapkan diri sebaik-baiknya walaupun bukan yang terbaik untuk hari pernikahan dengan KEMATIAN. Wallahua'lam.

Cukuplah kematian itu mengingatkan kita... Cukuplah kita sedar kita akan berpisah dengan segala nikmat dunia. Cukuplah kita sedar bahawa ada hari yang lebih kekal, oleh itu sentiasalah berwaspada. Bimbang menikah tergesa-gesa, tahu-tahu sudah disanding dan diarak seluruh kampung walau hanya dengan sehelai kain putih tak berharga.

Setidak-tidaknya, Insyirah (watak di atas) sudah 'membeli' baju pernikahannya... Untungnya Insyirah. (Cemburu! Cemburu! Cemburu!)

Wednesday, April 14, 2010

MISTERI DAN HEBATNYA MAKNA CANTIK

Usah terkejut kalau ada orang melahirkan rasa hatinya pada anda, sedangkan anda merasakan tiada apa-apa istimewanya anda. Begitulah hebat dan misterinya kehidupan. Ukuran manusia tentang kecantikan dan ketampanan memang tidak pernah sama. Ada orang mabuk dengan seseorang sedangkan menurut pandangan orang lain, wajah semacam itu tidak patut dimabuk-mabukkan.
Misterinya suara hati memang sukar dibaca. Tidak ada sebarang alat untuk mengukur makna cantik atau tampan pada seseorang. Ukuran cantik atau tampan ini sentiasa berlainan antara seseorang dengan seorang yang lain.

Maka itu, usah hairan jika seseorang wanita dinobatkan sebagai ratu dunia, padahal ramai lagi wanita di pejabat kita yang kita rasakan mengatasi kecantikan ratu itu. Begitu juga, mungkin ada wanita di kampung kita, kita rasakan lebih cantik daripada para model yang popular. Sebab apa?Sebab persepsi kecantikan tidak pernah sama antara manusia. Ada orang anggap hidung yang sedikit mancung sebagai cantik, ada orang tidak. Ada orang rambut yang mengurai sebagai cantik, ada orang menganggap rambut yang ditutup sebagai kecantikan yang mengatasi. Ada orang menganggap putih melepak itu sebagai cantik ada orang suka yang hitam. Ada orang mentafsirkan kecantikan itu mata yang bundar tetapi ada orang merasakan yang sepet seperti Jepun atau Cina itu yang lebih menawan. Ada orang menganggap bibir yang nipis itu cantik tetapi ada juga orang yang mengatakan bibir tebal lebih mengancam.

Di sebuah kawasan terpencil di utara Thailand, terdapat sekelompok manusia yang mentafsirkan cantik itu leher yang jinjang. Maka, para wanita memakai besi lilit di leher untuk memanjangkan leher masing-masing. Alangkah seksanya untuk menjadi cantik menurut penilaian masyarakat ini. Begitu juga di sebuah penempatan di Afrika, cantik ditafsirkan mulut yang lebar. Semakin lebar mulut semakin cantiklah mengikut ukuran kelompok ini. Maka para lelaki dan para wanitanya memakai piring besi berbentuk bulat di mulut. Piring ini ditukar kepada yang lebih besar dari semasa ke semasa.

Begitulah misteri dan luasnya makna cantik dan tampan. Jadi, usah terlalu susah hati jika anda merasakan anda tidak begitu menarik. Anda tetap cantik di mata orang yang mentafsirkan kecantikan itu bukan sekadar wajah tetapi mungkin keseluruhan anda. Ini termasuklah gaya jalan anda, cara nada bertutur, pendirian serta sikap anda terhadap sesuatu perkara.

Jika anda belum mendapat teman bukan cantik masalahnya, cuma anda belum bertemu dengan orang yang mentafsirkan cantik itu menurut apa-apa kelebihan yang ada pada diri anda.

Sebenarnya tiada manusia yang buruk, lantaran setiap daripada kita ini dicipta oleh Tuhan yang Maha Bijaksana. Masakan ciptaan Tuhan itu tidak cantik, malah dalam Islam kecantikan bukan terletak pada wajah atau keturunan tetapi apa yang ada di dalam hati. Baik sang hati baiklah seluruh badan, jahat sang hati jahatlah seluruh badan. Agama menilai kecantikan itu iman yang teguh, kukuh dan padu.

Siapa kita untuk mempertikaikan ciptaan-ciptaan TUHAN. Sudah tentu kita tidak layak. Tetapi ramai orang mempertikai TUHAN setiap kali menghadap cermin. Berkacalah tatkala bercermin sebab dengan berkaca cermin akan memberitahu anda apakah anda yang berdiri di situ atau perasaan dan keegoan anda yang menampani.

Siapa anda, anda sendiri yang menentukan. Pandangan manusia semuanya tidak sama. Sejuta yang mengatakan anda tidak indah, sepuluh juta mungkin mengatakan yang sebaliknya. Hanya anda belum bertemu muka dengan yang sepuluh juta itu.

Itu saja yang membezakan.

Thursday, April 8, 2010

LAMBAIAN MENARA GADING 2010 (LAMBAI '10)



Jemput kepada sahabat-sahabat yang mempunyai adik-adik @ saudara-mara @sahabat handai yang bakal ke IPTA atau IPTS sama ada didalam atau luar negara untuk mengajak mereka menyertai program ini.

PERCUMA (makanan n bahan disediakan).

Antara Pengisian menarik..perkongsian bersama :

1)Bekas penuntut luar negara & timur tengah

2)Bekas Penuntut Ijazah & Diploma

3)Bekas Penuntut Matrikulasi

4)LDK dan sebagainya..

Wednesday, March 31, 2010

HATI SEORANG WANITA

1. Sensitif : Bukan bermaksud suka merajuk, tapi hanya ingin bermanja dan mendapatkan perhatian.

2. Cerewet : Bukan bermaksud FUSSY tak tentu hala, kadang ingin LELAKI mengikut kata-katanya sekali sekala.

3. Halus : Ibarat sehelai sutera, cantik, mulus, lembut dan mudah tercarik dan koyak. Walaupun seorang wanita memaafkan seseorang yang lain atas sebab sesalahan, biasanya WANITA akan ingat kesalahan tersebut untuk disimpan jadi pengajaran. Bukan DENDAM.

4. Ikhlas : Ikhlas seorang wanita tak perlu diragui.

5. Korban : WANITA sanggup berkorban apa saja untuk seseorang yang amat disayangi, termasuk ibu bapa, anak-anak dan suami. WANITA amat tabah.

6. Prihatin : Sentiasa memerhatikan keadaan sekeliling dalam diam.

7. Manja : Walaupun dia adalah seorang WANITA yang pandai berdikari, naluri seorang WANITA masih lagi tetap seorang WANITA. Suka bermanja bukan hanya kepada insan yang bernama LELAKI , namun juga sesama kaum.

8. Ego : WANITA yang terlalu sayangkan kekasihnya sanggup menolak ketepi EGOnya apabila bersemuka dengan yang dicintai.

9. Cinta : CINTA pertama bagi wanita adalah yang paling dalam dan tulus.

10. Seks : SEKs bukanlah segala-galanya buat WANITA kerana WANITA diciptakan dengan 9 nafsu dan satu akal. NAFSU yang banyak dan tidak tertumpu kepada satu saja. LELAKI pula dijadikan dengan 9 akal dan satu nafsu. Fungsi lelaki adalah membimbing WANITA dan bukanmenghanyutkannya.

** "Peranan LELAKI dalam kehidupan WANITA adalah sebagai pelindung dan bukan sebagai pemusnah. WANITA diciptakan oleh ALLAH swt dari tulang rusuk kiri dan untuk dipeluk dan dimanja, bukan untuk dikasari.

Maka lelaki haruslah memahami HATI dan PERASAAN WANITA


Tuesday, March 30, 2010

Tiba-Tiba Terjaga Dari Tidur..

Saat sedang nyenyak dibuai mimpi di atas tilam yang begitu empuk, bilik yang dingin dan kelam tanpa cahaya, anda terbangun tiba-tiba. Setelah mata terbuka, persekitaran diamati. Belum subuh lagi ni, hati bermonolog sendirian. Kemudian tangan mencapai telefon bimbit melihat jam sekadar mendapatkan satu kepastian. "Oh, baru pukul 3 pagi."

Dalam situasi di atas, apa yang akan anda lakukan? Di sini anda mempunyai beberapa pilihan. Tanya iman anda dan buatlah pilihan yang bijak.

PILIHAN 1

Kebanyakan kita akan menarik selimut semula dan menyambung episod kedua mimpi yang tergantung separuh jalan. Bukan itu sahaja, hati turut mengomel, "Apasal la aku bangun awal sangat."
Terzahir sebuah kekesalan. Kesal bangun awal? Nauzubillah.

PILIHAN 2

"Oh baru pukul 3 pagi. Waktu macam ni doa makbul.
Ya ALLAH, ampunkanlah dosaku dan dosa kedua ibu bapaku. Jadikan aku hamba yang mempunyai semangat juang yang tinggi, berjuang untuk kebahagiaan dunia dan akhirat."
 Kemudian sambung kembali 'ibadah senyap'.

PILIHAN 3

Sebaik menyedari dah pukul 3 pagi (bukan baru pukul 3 pagi), segera bangun untuk solat tahajud. Sembahlah ALLAH saat mata-mata lain terpejam rapat, rukuklah saat hati kita masih tenang, sujudlah saat minda masih kosong dari sebarang urusan dunia dan berdoalah saat doa didengari ALLAH.

Terjaga di awal pagi adalah satu rahmat yang merupakan kurniaan ALLAH.

Siapa tahu saat ALLAH takdirkan kita terjaga, sebenarnya ALLAH menunggu untuk memakbulkan sebarang permintaan malam tersebut. Mulalah dari langkah pertama, berdoa sebaik terjaga. Malah mintalah dari ALLAH untuk bangkitkan kita malam-malam seterusnya. Itulah caranya mengucapkan terima kasih kerana terjaga saat sedang tidur, bukan mengomel penuh kekesalan. Tetapi alangkah baiknya andai tahajud dapat ditunaikan.

Monday, March 29, 2010

Mutiara Kata

Bunga Idaman Islam

Petang tadi terlihat kepadaku sekuntum bunga. Kelopaknya indah warna warni kucuba mendekatinya tapi niatku terbantut tatkala melihat duri-duri tajam di batangnya pasti duri-duri itu akan melukai jemariku.

Aku cuba mencium baunya tetapi amat payah lantaran sukar memegangnya aku mengeluh sendiri mencari bunga cantik yang bisa kusentuh lalu kuterlihat kepada sekuntum bunga tidak jauh dariku.

Aku menghampiri bunga itu nampak cantik dari jauh kulihat batangnya, tiada berduri lalu kusentuh dan kucuba menciumnya tapi tak lama kemudian aku lepaskannya. Baunya cukup membuatkan aku loya lalu aku terdengar suara manusia lain dibelakangku; sepasang adam dan hawa sedang bermanjaan lagak mereka sungguh menjengkelkan. Aku mengumpat di dalam hati rasa marah bila hukum Tuhan tak diendahkan.

Tak lama kemudian si adam memarahi si hawa. Aku hanya melihat dari jauh seperti menonton drama di televisyen lalu si adam meninggalkan si hawa seorang diri membiarkan gadis manis itu menangis hiba sementara itu pula aku terpandang seorang hawa berpakaian serba sopan sederhana gayanya dia berjalan tidak jauh dariku.

Pakaiannya labuh tidak meransang nafsu. Alangkah senang hatiku melihatnya dia menundukkan pandangan. Adam di sisi langsung tidak menegur bukan kerana benci tetapi tanda hormat.

Aku tersenyum sendiri tiba-tiba aku teringatkan dua kuntum bunga yang baru tadi kulihat.

Aku mula bermonolog.. bunga yang berduri itu pasti susah didekati sang kumbang. Bunga yang busuk itu pasti sudah dihisap madunya oleh sang kumbang lalu kumbang itu meninggalkannya setelah puas madunya dihisap.

Aku melihat kembali ke arah dua hawa tadi lalu ku bingkas bangun.

Siapakah aku?

Aku tergolong dalam kelompok bunga yang mana?

Tiba-tiba aku menangis merenung sifat sendiri...

Ya Allah! jadikan aku bunga idaman para mujahid...Bunga idaman agama! Aku mahu kelopakku indah tanpa sedikitpun kotoran..Jadikan aku wanita solehah, wanita mukminah!

Moga diriku seperti Khadijah, Masyitah, Aisyah, Muthiah dan Ainul Mardiah!

AKU INGIN MENJADI WANITA IDAMAN ISLAM.