Tuesday, April 27, 2010

KAWAN @ SAHABAT - Ungkapan Yg Berbeza Tp Mengandungi Makna Yg Sama



1) kawan tu bkn mcm main FUTSAL.
   Mula-mula kejar.. dah dapat sepak...

2) kawan tu bkn mcm main SKATE.
   Mula-mula gosok..lepas tu pijak....

3) kawan tu bkn mcm main RAGBI.
   Mula-mula tangkap.. dah dapat tendang.

4) kawan tu bknnya mcm PAMPERS...
   dah pakai, buang..

5) kawan tu bknnya mcm BARANG KEMAS.
   Waktu baru beli pakai. Dah sengkek gadai.

6) kawan tu bkn mcm PELANGI. Hari cerah
   takde..hujan gerimis baru muncul..

7) kawan tu bkn mcm KERETA.
   Rosak skit,jual.. ambik kereta baru..

8) kawan tu bkn mcm CHIPSMORE..
   kejap ade kejap takde..

9) kawan tu bkn mcm BANK.
   Bila dah takde duit,pegi kat sana ambik.

10) lagi.....kawan tu mcm ape ye ??? ?
 Haa..kawan tu mcm  AWAK LA. .

bila saya hantar msg, awak akan baca msg saya dgn teliti sampai habis....dan tersenyum2...

Walau ape pun tanggapan org tentang kawan..
 Bagi saya, kawan tu penting.

Seorang kawan takkan biarkan kawan dia menangis, sedih, berduka dan sebagainya..

Kawan yg sejati adalah seorang kawan yang dapat diajak duduk dan berbincang tentang pelbagai perkara.

Yang penting, seorang kawan akan sentiasa menghadiahkan senyuman kpd kawan-kawannya dan tidak akan pernah melaga2kan kawan-kawan..seorang kawan juga akan menutup mata dgn kelemahan @ kekurangan kawannya, bukan mengutuk @ mengata @ menjaja kekurangan itu kpd org lain..seorang kawan juga tidak akan pernah ada niat utk memutuskan perhubungan dgn kawannya apatah lagi menzahirkan utk memutuskan perhubungan dan menjadikan kawan sebagai musuh (itu sbnarnya lawan)..kalo x nak berkawan, awal2 lagi jgn cari kawan, lebih baik dok sorang2 sejak mula2 lagi..tp siapa dpt melawan takdir n kehendak Allah SWT..seseorang mukmin itu bersaudara antara satu sama lain..di dlm kubur nanti, malaikat akan bertanya tentang hubungan kita dgn saudara kita so, bila kita dah memutuskan perhubungan dgn kawan @ saudara seislam kita, apa yg kita nak jawab kat malaikat nnt??? (FIKIR2 DAN RENUNG2KAN) 
kalo kawan x dianggap penting, lebih baik hidup sorang2 kat dalam hutan or gua..orang yg menganggap kawan tidak penting adalah orang yang paling bodoh di dunia..

kata-kata orang bijak pandai : sebelum kita menilai kebaikan dan keburukan kawan @ org sekeliling, adalah lebih baik kita menilai kebaikan n keburukan diri sendiri dulu..orang yg x berbuat baik sesama kawan @ saudara tidak berhak utk menilai kebaikan @ keburukan seseorg kawan..padang cermin dan nilai diri sendiri dulu baru bleh kata kat org mcm2..
Iman, Maruah n Ketaqwaan seseorang hanya berhak dinilai oleh Allah SWT..siapa kita utk menilai Iman seseorang, Maruah seseorang dan Ketaqwaan seseorang???? (RENUNG2KAN DAN SELAMAT BERAMAL)..

SAHABAT SEJATI IALAH ORG YG BERKATA BENAR, BUKAN YANG MEMBENARKAN KATA-KATA ANDA!!!!


Wednesday, April 21, 2010

TINTA BUAT BAKAL SUAMIKU....

Assalammualaikum wbt.


Buatmu,
Bakal suamiku.

Entah angin apa yang membuai hari ini, membuatkanku begitu berani untuk mencoretkan sesuatu untuk dirimu yang tidak pernah kukenali. Aku sebenarnya tidak pernah berniat untuk memperkenalkan diriku kepada sesiapa. Apatah lagi meluahkan sesuatu yang  khusus buatmu sebelum tiba masanya. Kehadiran seorang lelaki yang menuntut sesuatu yang aku jaga rapi selama ini semata-mata buatmu. Itulah hatiku dan cintaku, membuatkan aku tersedar dari lenaku yang panjang. 

Aku telah dididik ibu semenjak kecil agar menjaga maruah dan mahkota diriku kerana Allah telah menetapkannya untuk suamiku, iaitulah dirimu suatu hari nanti. Kata ibu, tanggungjawab ibubapa terhadap anak perempuan ialah menjaga dan mendidiknya sehingga seorang lelaki mengambil alih tanggungjawab itu dari mereka. Jadi, kau telah wujud dalam diriku sejak dulu lagi. Sepanjang umurku ini. 


Aku menutup pintu hatiku daripada mana-mana lelaki kerana aku tidak mahu membelakangimu. Aku menghalang diriku dari mengenali mana-mana lelaki kerana aku tidak mahu mengenali lelaki lain selainmu, apatah lagi memahami mereka. Kerana itulah aku sedaya kudrat yang lemah ini membatasi pergaulanku dengan bukan mahramku. Aku sering sahaja berasa tidak selamat diperhatikan lelaki. Bukanlah aku menyangka buruk terhadap mereka, tetapi lebih baik aku berjaga-jaga kerana contoh banyak di depan mata. Apabila terpaksa berurusan dengan mereka, akan aku buat ‘expressionles face’ dan ‘cool’. Akan aku palingkan wajahku daripada lelaki yang asyik merenungku ataupun cuba menegurku. Aku seboleh-bolehnya melarikan pandanganku daripada ajnabi kerana pesan Sayyidatina ‘Aisyah R.A ;


“sebaik-baik wanita ialah yang tidak memandang dan dipandang”

Aku tidak ingin dipandang cantik oleh lelaki. Biarlah aku hanya cantik di matamu. Apa guna aku menjadi idaman ramai lelaki sedangkan aku hanya boleh menjadi milikmu seorang. Aku tidak merasa bangga menjadi rebutan lelaki bahkan aku merasa terhina diperlakukan sebegitu seolah-olah aku ini barang yang boleh dimiliki sesuka hati. Aku juga tidak mahu menjadi punca kejatuhan seseorang lelaki yang dikecewakan lantaran terlalu mengharapkan sesuatu yang tidak dapat kuberikan.

Bagaimana akan aku jawab di hadapan Allah kelak andai disoal?

Adakah itu sumbanganku kepada manusia selama hidup di muka bumi? 

Kalau aku tidak ingin kau memandang perempuan lain, aku dululah yang perlu menundukkan pandanganku. Aku harus memperbaiki kelemahan dan menghias peribadiku kerana itulah yang dituntut Allah. Kalau aku inginkan lelaki yang baik menjadi suamiku, aku juga perlu menjadi perempuan yang baik. 

Bukankah Allah telah menjanjikan perempuan yang baik itu untuk lelaki yang baik?

Tidak dapat aku nafikan, sebagai remaja aku memiliki perasaan untuk menyayangi dan disayangi. Namun, setiap kali perasaan itu datang, setiap kali itulah aku mengingatkan diriku bahawa aku perlu menjaga perasaan itu kerana ia semata-mata untukmu. Allah telah memuliakan seorang lelaki yang bakal menjadi suamiku untuk menerima hati dan perasaanku yang suci. Bukan hati yang menjadi lebihan lelaki lain. Lelaki itu berhak mendapat kasih yang tulen, bukan yang telah dibahagi-bahagikan. 



Diriku yang sememangnya lemah ini diuji Allah apabila seorang lelaki secara tidak sengaja mahu berkenalan denganku. Aku secara keras menolak, pelbagai dalil aku dikemukakan, tetapi dia tidak mahu mengalah. Lelaki itu tidak hanya berhenti di situ. Dia sentiasa menghubungi dan menggangguku. Aku berasa amat tidak tenteram, seolah-olah seluruh hidupku yang ceria selama ini telah dirampas dariku. Aku tertanya-tanya adakah aku berada di tebing kebinasaan. Aku beristighfar memohon keampunan-Nya. Aku juga berdoa agar Dia melindungi diriku daripada sebarang kejahatan. Kehadirannya membuatkan aku banyak memikirkanmu. Kau kurasa seolah-olah wujud bersamaku. Di mana sahaja aku berada, akal sedarku membuat perhitungan denganmu. Aku tahu lelaki yang melamarku itu bukan dirimu. Malah aku yakin pada gerak hati, ‘woman intuition’ku yang mengatakan lelaki itu bukan kau. 

Aku bukanlah seorang gadis yang cerewet dalam memilih pasangan hidup. Siapalah diriku ini untuk memilih berlian sedangkan aku hanya sebutir pasir yang wujud di mana-mana. Tetapi aku juga punyai keinginan seperti gadis lain, dilamar lelaki yang bakal dinobat sebagai ahli syurga, memimpinku ke arah tuju yang satu. Tidak perlu kau memiliki wajah seindah Nabi Yusuf A.S yang mampu mendebarkan jutaan gadis untuk membuatku terpikat. Andainya kaulah jodohku yang tertulis di Luh Mahfuz, Allah pasti mencampakkan rasa kasih di dalam hatiku, jua hatimu kali pertama kita berpandangan. Itu janji Allah. Akan tetapi, selagi kita tidak diikat dengan ikatan yang sah, selagi itu jangan kau zahirkan perasaanmu itu kepadaku kerana kau masih tidak mempunyai hak untuk berbuat begitu. Juga jangan kau lampaui batasan yang telah ditetapkan syara’. Aku takut perlakuanmu itu akan memberi impak yang tidak baik dalam kehidupan kita kelak. Permintaanku tidak banyak, cukuplah dirimu yang diinfak seluruhnya pada mencari redha Ilahi. 




Aku akan berasa amat bertuah andai dapat menjadi tiang seri ataupun sandaran perjuanganmu. Bahkan aku amat bersyukur pada Ilahi kiranya akulah yang ditakdirkan meniup semangat juangmu, menghulurkan tanganku untuk berpaut sewaktu rebah atau tersungkur di medan yang dijanjikan Allah dengan kemenangan atau syahid itu. Akan aku kesat darah dari lukamu dengan tanganku sendiri. Itulah impianku. Aku pasti berendam airmata darah andainya engkau menyerahkan seluruh cintamu padaku. Bukan itu yang aku impikan. Cukuplah kau mencintai Allah dengan sepenuh hatimu. Kerana dengan mencintai Allah kau akan mencintaiku kerana-Nya. Cinta itu lebih abadi dari cinta insan biasa. Moga cinta itu juga yang akan mempertemukan kita kembali di syurga. 

Aku juga tidak ingin dilimpahi kemewahan dunia. Cukuplah dengan kesenangan yang telah diberikan ibubapaku dulu. Apa guna kau menimbun harta untuk kemudahanku sekiranya harta itu membuatkan kau lupa pada tanggungjawabmu terhadap agamamu. Aku tidak akan sekali-kali bahagia melihatmu begitu. Biarlah kita hidup di bawah jaminan Allah sepenuhnya. Itu lebih bermakna bagiku. 


Dariku,
Bakal isterimu 


Peguam Syarie Menulis : Cari Punca Perosak Akhlak Tangani Isu Buang Bayi

Semua pihak perlu kerjasama bendung masalah jejas imej generasi muda masa depan 

SEBELUM ini kita sering memperkatakan permasalahan seks bebas, pergaulan bebas, minum arak, penagihan dadah, bohsia, bohjan, mat rempit, sumbang mahram, rogol, pencabulan, penderaan kanak-kanak, keganasan rumah tangga dan pelbagai lagi permasalahan masyarakat.


Kini kita dikejutkan pula dengan permasalahan pembuangan bayi yang semakin berleluasa sehingga melangkaui norma kemanusiaan yang tidak dapat diterima akal. Ia boleh terjadi dalam masyarakat Malaysia yang terkenal dengan nilai ketimuran dan ajaran Islam yang menjadi pegangan. Dalam Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2007, satu kajian di Lembah Klang mendapati seorang bayi dibuang setiap 10 hari dan yang lebih membimbangkan kejadian ini bukan hanya berlaku di bandar besar sebaliknya semakin menular di desa dan luar bandar. Ini jelas terbukti apabila sejak akhir-akhir ini, kes pembuangan bayi dilaporkan berlaku di luar bandar. 

Sebanyak 304 kes buang bayi dilaporkan antara 2004 hingga 2007, membabitkan 117 bayi lelaki, 96 bayi perempuan manakala bakinya tidak diketahui jantina kerana mayat reput. Menurut statistik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, sejumlah 50 kes buang bayi dicatatkan sepanjang Januari hingga September 2008 dengan pasangan Melayu mencatat jumlah tertinggi iaitu 36 peratus. 

Statistik di atas jelas menunjukkan betapa nazak dan dahsyatnya permasalahan buang bayi yang melanda masyarakat kita saban hari tanpa menunjukkan kadar penurunan. 

Pelbagai saranan dan cadangan diutarakan pelbagai pihak untuk mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi dan menangani permasalahan ini yang jelas bertentangan nilai yang ada dalam Islam khasnya dan norma kemanusiaan sejagat amnya. 
Di antaranya dengan menubuhkan pusat menerima bayi daripada perbuatan zina, menyediakan rumah perlindungan perempuan yang mengandung tanpa ikatan perkahwinan dan memberi pendidikan seks kepada pelajar sekolah. 

Namun timbul persoalan di sini iaitu sejauh manakah penyelesaian yang dicadangkan mampu menangani gejala buang bayi secara keseluruhannya. 

Berdasarkan statistik Jabatan Pendaftaran Negara bagi 2000 hingga 2008, 257,000 kanak-kanak didaftarkan tidak mempunyai nama bapa dan yang lebih menyedihkan lagi bagi tempoh 1999 hingga 2003 saja, 44 peratus anak yang tidak mempunyai nama bapa adalah anak orang Islam iaitu 30,978 daripada 70,430 kanak-kanak yang didaftarkan. 

Cuba bayangkan dalam keadaan cadangan penyelesaian di atas belum dilaksanakan sepenuhnya, sudah ada 257,000 kanak-kanak yang didaftarkan tanpa nama bapa, apatah lagi sekiranya cadangan penyelesaian itu dilaksanakan sepenuhnya, pasti jumlah tersebut akan bertambah berlipat kali ganda yang seterusnya membawa kepada permasalahan yang lain. 

Penulis amat tertarik dengan saranan Timbalan Dekan, Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid, yang mengatakan: “Jika semua pihak terutama kerajaan serius dalam menangani isu pembuangan bayi yang saban hari dilaporkan, tumpuan perlu diberi kepada usaha membersihkan masyarakat daripada sumber yang mendedahkan mereka kepada faktor yang merosakkan nilai murni.” 

Satu usaha bersepadu dan berterusan haruslah diambil secepat mungkin oleh semua pihak seperti agensi kerajaan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bagi memastikan segala punca kepada berlakunya masalah pembuangan bayi ini dapat dikenal pasti dan dihapuskan daripada terus menghantui masyarakat pada hari ini. 

Firman Allah dalam Surah al-Anfal ayat 20-22 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan Rasulnya dan janganlah kamu berpaling daripadanya, sedang kamu mendengar (perintah-perintahnya dan janganlah kamu menjadi sebagai orang munafik yang berkata: “Kami mendengar, pada hal mereka tidak mendengar. Sesungguhnya makhluk bergerak yang bernyawa yang paling buruk di sisi Allah ialah orang yang pekak dan tuli (tidak mendengar atau memahami kebenaran iaitu orang yang tidak mengerti).” 

Perlakuan seks bebas, pergaulan bebas, minum arak, penagihan dadah, bohsia, bohjan, mat rempit, sumbang mahram, rogol, pencabulan dan pelbagai lagi permasalahan yang melanda masyarakat wajar dibanteras secara bersepadu dengan berpandukan kepada panduan Illahi bukan hanya berlandaskan akal semata-mata dan penyelesaian jangka pendek yang hanya mengundang masalah selanjutnya yang tidak berkesudahan. 

Masalah pembuangan bayi adalah salah satu natijah buruk yang terhasil akibat pelbagai masalah masyarakat yang melanda dan kini menjadi barah yang semakin merebak dalam masyarakat kita. 

Justeru, cara sewajarnya bagi menangani permasalahan buang bayi adalah membanteras segala punca yang menjadi sebab kepada permasalahan ini. 

Kepincangan pendidikan, persekitaran, perundangan dan institusi keluarga harus diperbetulkan demi melahirkan masyarakat yang mempunyai nilai murni yang membawa kepada terlahirnya generasi muda yang mempunyai daya tahan tinggi bagi menghadapi pelbagai cabaran yang mendatang di zaman yang serba canggih dan moden ini. 

HIKMAH DI SEBALIK DUGAAN

Gagal sekali bukan bermakna gagal buat selama-lamanya. Setiap dugaan yang menimpa manusia bukanlah hukuman dari Tuhan semata-mata. Di sebalik apa yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Banyak kegagalan yang menimpa manusia tetapi kurang yang memikirkan musibah yang datang itu merupakan rahmat dan tanda kasih sayang Allah kepada hambaNya. Ada manusia yang kaya dengan harta tapi akhirnya harta dan kekayaan yang ada hilang sekelip mata sahaja. Seorang peniaga mengalami kerugian berjuta-juta dalam perniagaan dan akhirnya jatuh muflis. Lain pula seorang isteri yang menjaga dan mengasuh anak-anak dengan didikan agama sedari kecil lagi tetapi apabila anak-anak telah dewasa, semuanya lupa dan mengabaikan tanggungjawab kepada ibubapa. Sesetengah orang akan menganggap keadaan ini disebabkan kegagalan ibubapa mendidik anak-anak. Berbeza pula keadaan remaja yang hangat bercinta sehingga bertahun-tahun lamanya, lama kelamaan cinta yang mekar ditaman pudar dan hilang sebelum sampai masa mendirikan rumahtangga bahagia. Sehinggakan cinta yang tidak kesampaian membuatkan masing-masing kecewa. Seorang pelajar pintar dan sentiasa mendapat kedudukan teratas dalam kelas, bila tiba masa keputusan peperiksaan diumumkan, pelajar tersebut hanya lulus dan tidak cemerlang seperti rakan-rakan yang lain. Adakah setiap kegagalan ini merupakan takdir yang sahaja ditimpakan oleh Allah Swt untuk manusia?
 

Sedar atau tidak, sebenarnya setiap yang berlaku keatas makhluk di muka bumi ini adalah dari Allah Swt Yang Maha Mengetahui akan setiap sesuatu. Sebagaimana dalam Surah al-Baqarah ayat 29 yang bermaksud :
 

“Dia lah (Allah) Yang menjadikan untuk kamu Segala yang ada di bumi, kemudian ia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan ia Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”
 

Apabila ditimpa musibah atau dugaan yang berat, manusia sering kali menyalahkan takdir. Hati mula berbisik dan mengeluh ”mengapa aku jadi begini?”, kenapa Tuhan uji aku dengan ujian yang berat sekali?” dan terjadi juga persoalan di hati kecil manusia sambil berkata ”Tuhan tidak adil..”. Bukankah ungkapan itu menunjukkan kita tidak menerima qadha dan qadar Tuhan. Telah dinyatakan dengan jelas dalam kalimah Allah bahawa setiap sesuatu itu adalah atas ketentuanNya. Kegagalan yang menimpa manusia bukanlah penamat dan pengakhiran kehidupan di dunia ini. Ini juga bukan bermakna tidak ada jalan lain untuk kita berusaha dan memperbaiki kegagalan yang lepas. Menangisi kegagalan dan kesusahan hidup tidak akan menyelesaikan apa-apa. Keyakinan dalam diri bahawa di hadapan sana pasti ada sinar baru akan menyerlah menjadikan hidup lebih bahagia dan pasti tabah menghadapi dugaan yang tiba. Mengalah dan terus mengalah akan menjadikan diri tidak tahan dengan ujian. Percayalah, kita mampu menghadapinya sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud "Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya." Kegagalan bukan untuk ditangisi selamanya, kalimah Allah sentiasa memberi kelapangan pada hati dan fikiran malah memberi semangat untuk terus tabah. Dalam ayat yang lain "Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah org2 yg paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yg beriman." - Surah Al-Imran ayat 139.


Tidak kah kita terfikir bagaimana umat yang terdahulu diuji dengan ujian yang berat sekali. Sebagaimana Rasulullah SAW sendiri diuji dengan pelbagai ujian, dengan berhadapan kaumnya yang tidak mahu beriman. Walaupun pelbagai rintangan semasa menyebarkan dakwah di Mekah namun semangat yang kental untuk agama Islam diteruskan juga untuk berdakwah ke Madinah. Bukan sekali dua Nabi SAW diuji bahkan sepanjang hidupnya Baginda diuji dengan kematian ibu bapanya, isteri yang trcinta, kematian datuk dan juga bapa saudaranya. Namun Rasulullah SAW tetap meneruskan hidup dengan penuh kesabaran. Kesenangan dan kejayaan bukanlah dikecapi hanya dengan sekelip mata sahaja tetapi ia memerlukan pengorbanan yang tinggi. Untuk mencapai sesuatu bukan hanya berjalan, berlari malah terpaksa merangkak demi untuk mendapatkan sesuatu yang terbaik dalam hidup. Namun bukan semua yang diharapkan adalah indah belaka. Ada benda yang kita harapkan dari sesuatu untuk kebaikan diri kita tetapi Allah berikan ujian sebaliknya. Hati mula gelisah, jiwa menjadi tidak tenang, fikiran mula berkecamuk memikirkan nasib yang menimpa diri. Persoalan demi persoalan bermain difikiran mengapa aku tidak dapat apa yang aku idam-idamkan selama ini? Beginilah realitinya manusia yang tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki. Janganlah membenci akan sesuatu yang telah Tuhan berikan kepada kita malah sepatutnya manusia harus bersyukur dengan nikmat yang dilimpahkan kepada mereka. Dalam Surah Al-Baqarah ayat 216 Allah telah menjelaskan "Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."
 

Sebenarnya hakikat ujian dan musibah bukanlah sengaja ditimpakan Allah SWT kepada manusia. Disebalik ujian pasti ada hikmahnya. Ujian dan musibah yang datang adalah untuk melihat kesungguhan dan kesabaran seseorang. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud : “Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (Wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu” (Surah Muhammad :31)

Sifat sabar merupakan sifat mukmin sejati. Setelah ujian melanda seharusnya seorang manusia yang beriman pasti akan menerima ujian itu dengan penuh kesabaran. Bagi orang-orang yang soleh akan sabar dan tetap istiqamah dan juga bertawakal kepada Allah SWT. Allah juga menyuruh agar kita bersabar dengan ujian dan musibah sebagaimana perintahNya “Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).(Surah Al-Imran ayat 200)
 

Sentiasa bermuhasabah diri akan menambah keimanan dalam diri setiap insan yang ingin merenung dan berfikir tentang kehidupan. Apabila ditimpa ujian atau musibah mereka akan berfikir bahawa ujian yang datang itu merupakan peringatan daripada Allah SWT agar manusia kembali ke jalan yang benar dan sentiasa memperbaiki diri. Kebaikan yang dilakukan bukan hanya akan mendapat ganjaran di dunia bahkan di akhirat jua. "Sesungguhnya Allah telah membeli dr orang-orang mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga utk mereka... .(-Surah At-Taubah ayat 111). Sabar tidak hanya merupakan cara yang paling tepat untuk menghadapi segala macam ujian dan cubaan, tetapi sikap sabar juga akan mendapat perlindungan dari Allah SWT. Ini kerana Allah sentiasa bersama dengan orang-orang yang berlaku sabar.
 

Ketika ujian melanda diri , kepada Allah jua lah tempat memohon dan mengharap. Semakin dekat padaNya jiwa akan bertambah tenang dan dapat menjalani kehidupan ini dengan bahagia. Sebagaimana ayat al-Quran yang bermaksud "Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal." (Surah At-Taubah ayat 129). Mukmin yang sejati tidak akan berputus asa daripada ujian dan musibah yang menimpa dirinya. Malah Allah menyuruh umat Islam bangun dan terus berusaha gigih sebagaimana Surah Yusuf ayat 12 yang bermaksud "... ..dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yg kafir."
 

Segala bencana ,ujian, penyakit, kesusahan atau kerunsingan yang menimpa tubuh badan atau akal fikiran seseorang mukmin adalah menjadi "Kaffarah" (penghapus) kekotoran dosa dan kesalahan orang yang ditimpa bencana itu. Sesiapa yang menyifatkan bala bencana yang menimpanya sebagai nikmat dan menerimanya dengan reda akan mendapat balasan pahala daripada Allah, selain terhapus kekotoran dosa dan kesalahannya. Umat manusia seharusnya bersyukur kerana setiap dugaan dan ujian itu merupakan rahmat dan kasih sayang dari Allah SWT. 


Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya....

Friday, April 16, 2010

Ya.....SAYA SUDAH BERTUNANG....dengan sapa??

Hari-hari berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun lamanya, namun yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu. Iya, hanya beberapa minggu lalu. Berita itu aku sambut dengan hati yang diusahakan untuk berlapang dada. Benar, aku berusaha berlapang dada. Terkadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir saat kita benar-benar berada di tepi tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di jalan tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah dengan tabah.
Aku hanya seorang Insyirah. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku bisa melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain.

Aku bukan seperti bondanya Syeikh Qadir al-Jailani, aku juga tidak sehebat srikandi Sayyidah Khadijah dalam berbakti, aku bukan sebaik Sayyidah Fatimah yang setia menjadi pengiring ayahanda dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan Islam. Aku hanya seorang Insyirah yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama... Negeri Barzakh, insya Allah. Destinasi aku juga sama seperti kalian, Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini.

Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabiah yang memuji wajahku berseri dan mereka yakin benar aku sudah dikhitbah apabila melihat kedua tangan ku memakai cincin di jari manis. Aku hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku bukan membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diam ku kerana aku belum mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam penantian.

Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila.

"Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?"

Aku menjawab tenang.. "Warna putih, bersih..."

"Alhamdulillah, ibu akan usahakan dalam tempoh terdekat."

"Ibu, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan berlebihan."

Ibu angguk perlahan.

Beberapa hari ini, aku menyelak satu per satu... helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh nubari aku sebagai hamba Allah. Malam Pertama... Sukar sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah.

Sejak hari pertunangan itu, aku semakin banyak mengulang al-Quran. Aku mahu sebelum tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh. Mudah-mudahan aku tenang... As-Syifa' aku adalah al-Quran, yang setia menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang memujuk gelora hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini rasanya orang-orang yang mendahului.

"Kak Insyirah, siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak tak?"

Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara aku dan keluarga.

"Insya Allah, 'dia' tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak dengan Allah. Itu yang paling utama."

Berita itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi.

"Jangan lupa jemput ana di hari menikahnya, jangan lupa!"

Aku hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku sedang berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan 'dia' yang mendekatkan aku dengan Allah. Sahabiah juga merasa kehilangan ku apabila setiap waktu terluang aku habiskan masa dengan as-Syifa' ku al-Quran, tidak lain kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap dalam setiap derap nafas ku menanti hari itu.

"Bila enti menikah?"

Aku tiada jawapan khusus.

"Insya Allah, tiba waktunya nanti enti akan tahu..." Aku masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya.

"Jemput ana tau!" Khalilah tersenyum megah.

"Kalau enti tak datang pun ana tak berkecil hati, doakan ana banyak-banyak!" Itu saja pesanku. Aku juga tidak tahu di mana mahu melangsungkan pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.

"Insya Allah, kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti..."

Rahsia ku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan tarikhnya. Cuma, hanya termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung aku dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti orang lain. Semuanya aku sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan aku katakan sekali lagi kepada ibu...

"Usah berlebihan ya..."

Ibu angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata.

"Insyirah, jom makan!"

Aku tersenyum lagi... Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman.

"Tafaddal, ana puasa."

Sahabiah juga semakin galak mengusik.

"Wah, Insyirah diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat... Tarikhnya tak tetap lagi ke?"

"Bukan diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi."

Sehingga kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku, itu sahaja.

.......................................

"innalillahi wainna ilaihi rajiun..."

"Tenangnya... Subhanallah. Allahuakbar."

"Ya Allah, tenangnya..."

"Moga Allah memberkatinya...."

Allah, itu suara sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan aku pada ibu.

Akhirnya, aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Sahabiah ramai yang datang di majlis walimah walaupun aku tidak menjemput sendiri.

Akhirnya, mereka ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan aku kepada Allah.

Akhirnya, mereka kenali sosok 'dia' yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum.

Akhirnya, mereka sama-sama mengambil 'ibrah dari sosok 'dia' yang mengkhitbah ku.

Dalam sedar tidak sedar...

Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan ku... Sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi. Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu.

"Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang mendekatkan dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau redhai, aku hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau sebagai sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku ketahui..."

Akhirnya, Khalilah bertanya kepada ibu beberapa minggu kemudian...

"Insyirah bertunang dengan siapa, mak cik?"

Ibu tenang menjawab... "Dengan kematian wahai anakku. Kanser tulang yang mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, Insyirah hanya punya beberapa minggu sahaja sebelum kansernya membunuh."

"Allahuakbar..." Terduduk Khalilah mendengar, air matanya tak mampu ditahan.

"Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama..."

Ibu angguk, tersenyum lembut... "Ini nak, bukunya." Senaskah buku bertukar tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk'Malam Pertama di Alam Kubur'.

"Ya Allah, patut la Insyirah selalu menangis... Khalilah tak tahu mak cik."

"Dan sejak dari hari 'khitbah' tersebut, selalu Insyirah mahu berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan..."

Khalilah masih kaku. Tiada suara yang terlontar. Matanya basah menatap kalam dari diari Insyirah yang diberikan oleh ibu.

"Satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh MAUT. Dan satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan MAUT. Dan aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diri ku kepada ALLAH. Aku tahu ibu akan tenang menghadapinya, kerana ibuku bernama Ummu Sulaim, baginya anak adalah pinjaman dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila ALLAH meminta. Dan ibu mengambil 'ibrah bukan dari namanya (Ummu Sulaim) malah akhlaqnya sekali. Ummu Sulaim, seteguh dan setabah hati seorang ibu."

* Kisah ini bukan kisah ana (Insyirah), ianya kisah KITA (semua yang sedang membaca/tak) *

Mulai hari ini, jangan bersoal tika melihat ana memakai cincin. Kerana, ana sudah bertunang! Bertunang dengan kematian, tidak tahu bila ana akan dinikahkan dan tidak tahu bagaimana rezeki di malam pertama. Tetapi, sekurang-kurangnya apabila sudah dirisik dan bertunang, kita sama-sama akan mempersiapkan diri sebaik-baiknya walaupun bukan yang terbaik untuk hari pernikahan dengan KEMATIAN. Wallahua'lam.

Cukuplah kematian itu mengingatkan kita... Cukuplah kita sedar kita akan berpisah dengan segala nikmat dunia. Cukuplah kita sedar bahawa ada hari yang lebih kekal, oleh itu sentiasalah berwaspada. Bimbang menikah tergesa-gesa, tahu-tahu sudah disanding dan diarak seluruh kampung walau hanya dengan sehelai kain putih tak berharga.

Setidak-tidaknya, Insyirah (watak di atas) sudah 'membeli' baju pernikahannya... Untungnya Insyirah. (Cemburu! Cemburu! Cemburu!)

Wednesday, April 14, 2010

MISTERI DAN HEBATNYA MAKNA CANTIK

Usah terkejut kalau ada orang melahirkan rasa hatinya pada anda, sedangkan anda merasakan tiada apa-apa istimewanya anda. Begitulah hebat dan misterinya kehidupan. Ukuran manusia tentang kecantikan dan ketampanan memang tidak pernah sama. Ada orang mabuk dengan seseorang sedangkan menurut pandangan orang lain, wajah semacam itu tidak patut dimabuk-mabukkan.
Misterinya suara hati memang sukar dibaca. Tidak ada sebarang alat untuk mengukur makna cantik atau tampan pada seseorang. Ukuran cantik atau tampan ini sentiasa berlainan antara seseorang dengan seorang yang lain.

Maka itu, usah hairan jika seseorang wanita dinobatkan sebagai ratu dunia, padahal ramai lagi wanita di pejabat kita yang kita rasakan mengatasi kecantikan ratu itu. Begitu juga, mungkin ada wanita di kampung kita, kita rasakan lebih cantik daripada para model yang popular. Sebab apa?Sebab persepsi kecantikan tidak pernah sama antara manusia. Ada orang anggap hidung yang sedikit mancung sebagai cantik, ada orang tidak. Ada orang rambut yang mengurai sebagai cantik, ada orang menganggap rambut yang ditutup sebagai kecantikan yang mengatasi. Ada orang menganggap putih melepak itu sebagai cantik ada orang suka yang hitam. Ada orang mentafsirkan kecantikan itu mata yang bundar tetapi ada orang merasakan yang sepet seperti Jepun atau Cina itu yang lebih menawan. Ada orang menganggap bibir yang nipis itu cantik tetapi ada juga orang yang mengatakan bibir tebal lebih mengancam.

Di sebuah kawasan terpencil di utara Thailand, terdapat sekelompok manusia yang mentafsirkan cantik itu leher yang jinjang. Maka, para wanita memakai besi lilit di leher untuk memanjangkan leher masing-masing. Alangkah seksanya untuk menjadi cantik menurut penilaian masyarakat ini. Begitu juga di sebuah penempatan di Afrika, cantik ditafsirkan mulut yang lebar. Semakin lebar mulut semakin cantiklah mengikut ukuran kelompok ini. Maka para lelaki dan para wanitanya memakai piring besi berbentuk bulat di mulut. Piring ini ditukar kepada yang lebih besar dari semasa ke semasa.

Begitulah misteri dan luasnya makna cantik dan tampan. Jadi, usah terlalu susah hati jika anda merasakan anda tidak begitu menarik. Anda tetap cantik di mata orang yang mentafsirkan kecantikan itu bukan sekadar wajah tetapi mungkin keseluruhan anda. Ini termasuklah gaya jalan anda, cara nada bertutur, pendirian serta sikap anda terhadap sesuatu perkara.

Jika anda belum mendapat teman bukan cantik masalahnya, cuma anda belum bertemu dengan orang yang mentafsirkan cantik itu menurut apa-apa kelebihan yang ada pada diri anda.

Sebenarnya tiada manusia yang buruk, lantaran setiap daripada kita ini dicipta oleh Tuhan yang Maha Bijaksana. Masakan ciptaan Tuhan itu tidak cantik, malah dalam Islam kecantikan bukan terletak pada wajah atau keturunan tetapi apa yang ada di dalam hati. Baik sang hati baiklah seluruh badan, jahat sang hati jahatlah seluruh badan. Agama menilai kecantikan itu iman yang teguh, kukuh dan padu.

Siapa kita untuk mempertikaikan ciptaan-ciptaan TUHAN. Sudah tentu kita tidak layak. Tetapi ramai orang mempertikai TUHAN setiap kali menghadap cermin. Berkacalah tatkala bercermin sebab dengan berkaca cermin akan memberitahu anda apakah anda yang berdiri di situ atau perasaan dan keegoan anda yang menampani.

Siapa anda, anda sendiri yang menentukan. Pandangan manusia semuanya tidak sama. Sejuta yang mengatakan anda tidak indah, sepuluh juta mungkin mengatakan yang sebaliknya. Hanya anda belum bertemu muka dengan yang sepuluh juta itu.

Itu saja yang membezakan.

Thursday, April 8, 2010

LAMBAIAN MENARA GADING 2010 (LAMBAI '10)



Jemput kepada sahabat-sahabat yang mempunyai adik-adik @ saudara-mara @sahabat handai yang bakal ke IPTA atau IPTS sama ada didalam atau luar negara untuk mengajak mereka menyertai program ini.

PERCUMA (makanan n bahan disediakan).

Antara Pengisian menarik..perkongsian bersama :

1)Bekas penuntut luar negara & timur tengah

2)Bekas Penuntut Ijazah & Diploma

3)Bekas Penuntut Matrikulasi

4)LDK dan sebagainya..