Friday, July 29, 2011

Ramadhan Rahmat Daripada Allah

Sya'aban bakal meninggalkan kita beberapa hari saja lagi. Menanti giliran berikutnya adalah Ramadhan iaitu bulan penuh rahmat, keberkatan dan keampunan daripada Allah SWT kepada hamba-Nya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Apabila datangnya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sepanjang bulan mulia ini, apakah persediaan yang perlu kita lakukan supaya Ramadhan tahun ini menjadi lebih bermakna dari tahun sebelumnya?
Rasullullah bersabda yang bermaksud : "Berapa ramai orang yang berpuasa, mereka tidak mendapat apa-apa daripada puasa mereka kecuali lapar dan dahaga."
Rujuklah kembali perkara berkaitan dengan puasa seperti adab, rukun, syarat sah serta perkara yang membatalkan puasa. Pastikan juga kesihatan kita berada di tahap paling baik sebelum memulakan ibadah puasa.
Jika kesihatan mengizinkan, sudah pasti ibadah puasa dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna. Makanlah makanan yang berkhasiat selain menjaga waktu tidur sebaiknya.
Ramadhan juga mengajar kita bersikap murah hati iaitu memberi sumbangan dan sedekah kepada golongan yang kurang bernasib baik.
Ibnu Abbas melaporkan, Rasulullah SAW seorang pemurah. Dan Baginda menjadi lebih pemurah ketika Ramadhan. (Direkodkan oleh Bukhari)
Terbukti Ramadhan adalah madrasah kepada kita untuk melatih, mendidik serta membangunkan diri menjadi insan berdisiplin dalam menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah di atas muka bumi ini.
Amalan berpuasa memang terbukti mampu menundukkan nafsu. Diharap proses 'pengajian' kita sepanjang Ramadhan dapat berjalan sempurna.
Kesempatan berada di dalam bulan penuh berkat itu nanti, ruang masjid kembali bergema dan umat Islam mula berpusu-pusu ke masjid di kawasan masing-masing untuk bersembahyang Tarawih secara berjemaah.
Panduan terbaik untuk kekal 'cerga' supaya dapat melaksanakan ibadah sunat seperti solat Tarawih, bertadarus dan amalan sunat di malam harinya adalah tidak makan terlalu banyak ketika berbuka puasa.
Gunakan sepenuhnya peluang dan tawaran setahun sekali ini untuk melakukan lebih banyak perubahan diri supaya semangat dan roh Ramadhan itu kekal dalam jiwa umat Islam.
Rasulullah menegaskan : "Seandainya manusia mengetahui keistimewaan Ramadhan, nescaya mereka ingin supaya sepanjang tahun itu adalah Ramadhan."
Allah berfirman yang bermaksud : "Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan menjelaskan perbezaan antara benar dan salah." (Surah Al-Baqarah, ayat 185)
Persiapan perlu meliputi aspek, jasmani, emosi, rohani, dan intelek. Mukmin muttaqin pasti berusaha mencapai matlamat yang dijanjikan Allah dalam Ramadhan.
Ketaatan melaksanakannya adalah ta'abbud kepada Allah. Jika ia dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan penghayatan maka kesannya lahirlah individu Muslim yang mempunyai jati diri kental.
Jangan kita tergolong dalam orang yang berpuasa sekadar menjalankan ia sebagai rutin tahunan semata-mata dan tidak memahami fadilat di sebaliknya.
Golongan seperti itu walaupun berpuasa, tetapi hakikatnya mereka hanya mendapat 'pengalaman' lapar dan dahaga saja.
Penceramah, Mohd Rani Awang Besar berkata, medan terbaik menanti persiapan Ramadhan perlu bermula seawal Rejab lagi kemudian teruskan di dalam Sya'aban supaya dapat melangkah ke Ramadhan dalam keadaan bersedia.
"Sejak Rejab kita digalakkan berdoa seperti 'Ya Allah, berkatilah kami pada ketika Rejab dan Sya'aban dan sampaikanlah kami ke bulan penuh mulia iaitu ramadhan.'
"Kita ibarat seperti melaksanakan misi pendakian. Di sini, kita memulakan pendakian sejak Rejab dan terus mendaki pada ketika Sya'aban dan akhirnya sampai ke kemuncaknya iaitu Ramadhan," katanya.
Beliau berkata, Ramadhan adalah penghulu bagi segala bulan dan umat Islam perlu melakukan persediaan rapi untuk menghadapinya.
"Orang Islam yang benar-benar faham madrasah Ramadhan ini, pastinya mereka tidak melepaskan ia pergi begitu sahaja. Setiap kali berpeluang menyambut Ramadhan mereka pasti menjadi orang paling gembira bagi menyucikan rohani dan jasmani.
"Sebaliknya, bagi orang munafik mereka merasa sempit dan susah hati kerana aktiviti mereka terbatas, terpaksa berlapar dahaga dan merasa diri mereka terkongkong," katanya.
Mohd rani berkata, Ramadhan mengingatkan umat Islam erti keserdahaan dalam meningkatkan ketaqwaan kepada Penciptanya.
"Ramadhan adalah bulan kesabaran. Allah menjanjikan balasan Syurga kepada mereka yang bersabar.
"Umat Islam perlu sentiasa mengamalkan kesederhanaan dalam setiap perkara termasuk tidak membazir ketika makan dan tidak berbelanja secara berlebihan," katanya.
Beliau berkata Ramadhan juga medan melatih umat Islam supaya memahami masyarakat yang berada di sekeliling mereka.
"Berlapar boleh menginsafkan diri apabila melihat masih ada golongan yang lebih susah dan serba daif kehidupannya.
"Justeru, gunakan kesempatan Ramadhan ini untuk membantu orang lain yang hampir dengan kita termasuk jiran tetangga, keluarga dan saudara yang memerlukan mengikut kemampuan diri kita," katanya.
Mohd Rani berkata umat Islam perlu mengawasi tindak-tanduk serta adab mereka ketika menjalani ibadah puasa termasuk menjaga lidah, telinga, mata, dan anggota lain.
Berpuasa adalah benteng seorang mukmin daripada terjerumus melakukan perkara maksiat dan sia-sia yang membawa kepada dosa.
"Daripada Abu Hurairah ra berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Puasa adalah perisai (memlihara daripada akhlak yang buruk). Apabila seseorang itu berpuasa, maka janganlah dia mengeluarkan kata-kata yang tidak elok (mencarut) atau kesat. Jika ada orang memakinya atau mahu membunuhnya, maka katakanlah kepadanya : 'Sesungguhnya aku berpuasa, sesungguhnya aku berpuasa.'
"Justeru, masjid atau surau perlu sentiasa memberi peringatan kepada umat Islam supaya mereka dapat keluar daripada belenggu kejahilan dalam usaha melaksanakan ibadah ini dengan sempurna.
"Umat Islam juga disaran merebut malam Lailatul Qadar pada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan di mana kelebihan malam itu adalah lebih baik daripada 1000 bulan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Sudi2 la komen kat blog ni..:-)